Sometimes.. something.. at all times

Friends

Apr 15, 2012

PERBUATAN MEMINTA-MINTA



Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Huud, ayat 6:
Tafsirnya:
Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang nyata kepada malaikat-malaikat yang berkenaan.

Dari ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa setiap makhluk Allah Subhanahu Wataala yang hidup di muka bumi ini telah dijanjikan bahawa Allah Subhanahu Wataala yang akan menanggung rezekinya. Namun demikian kita janganlah pula menyalah ertikan maksud ayat tersebut dengan fahaman bahawa Allah melarang kita daripada berusaha mencari rezeki kerana di dalam Surah Al-Jumu’ah, ayat 10, Allah Subhanahu Wataala berfirman:

Tafsirnya:
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak dalam segala keadaan supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Perlu diingat bahawa setelah kita bekerja dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rezeki, tetapi keadaan kita masih juga berada dalam keadaan yang sama, maka janganlah mengeluh dan berputus asa. Tetapi teruskanlah berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh kerana setiap kejadian yang dijadikan oleh Allah Subhanahu Wataala itu ada hikmatnya. Alllah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Asy-Syuraa, ayat 27:

Tafsirnya:
Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambanya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi dengan perbuatan-perbuatan liar durjana, akan tetapi Allah menurunkan rezekinya itu menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakinya. Sesungguhnya ia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambanya, lagi melihat dengan nyata.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Walau pun seseorang itu ditakdirkan Allah Subhanahu Wataala dalam keadaan miskin atau fakir, tetapi agama Islam melarang umatnya untuk berserah kepada takdir semata-mata, bahkan memerintahkan umatnya supaya berusaha mencari rezeki. Ini bererti Islam melarang umatnya untuk meminta-minta.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: 

Maksudnya:
Dari Imran bin Husain, katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya Allah menyayangi hambanya yang beriman, yang miskin, yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai. 
(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Sidang Jumaat sekalian,
Cubalah perhatikan betapa orang yang terang kemiskinannya dan kepapaannya pun dilarang meminta-minta, maka apatah lagi orang yang berada. Seorang Islam hendaklah sentiasa bersyukur dan redha ke atas rezeki yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepadanya. Allah melarang hamba-hambanya bersifat tamak apatah lagi terhadap harta benda orang lain. Allah juga melarang mereka bersifat haloba iaitu mencari harta dengan apa jua cara tanpa mengira halal haramnya.

Dalam Islam perbuatan meminta-minta tanpa hajat darurat yang dibolehkan oleh Islam hukumnya haram, walau bagaimanapun hukumnya menjadi harus jika dalam keadaan terpaksa dan darurat seperti seorang yang sangat lapar kerana bimbang jika tidak mendapat makanan dengan segera, mungkin dia akan jatuh sakit atau mati. Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian, untuk menutup auratnya, keadaan seumpama ini mengharuskan seseorang itu meminta kepada orang lain, ini pun jika si peminta itu tidak berkuasa membuat sesuatu pekerjaan untuk menyara hidupnya. Andai kata dia berupaya untuk bekerja tetapi bersikap malas, maka pada ketika itu tidaklah harus meminta kepada orang lain.

Muslimin yang berbahagia,
Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta, sebaliknya menjaga maruah dan kehormatan diri dengan berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala di muka bumi ini. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan Allah memurahkan rezeki ke atas kita. Amin Yaa Rabbal ‘Aalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Saba’, ayat 39:
Tafsirnya:
Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambanya, dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.



hakmilik Jabatan Hal Ehwal Masjid

No comments:

Post a Comment